Wednesday 8 March 2017

Ride Utara @ 25-26/02/2017 (DAY 2)

Jam 4.00 pagi, tengah syok tidur tiba-tiba terasa ada sesuatu kat tapak kaki. Huihh melompat aku bangun!! Makaihh, kucing rupanya. Adoyai ada yang tak tutup rapat sliding door rupanya. Dah setel keluarkan kucing, cubaan nak tidur semula gagal. Jam 5.00 pagi dah ada alarm handphone yang mula berbunyi. Sorang demi sorang bangun. Hahaha takde maknanya la nak tidur semula ni.

Selesai mandi & solat subuh, jam 7.00 pagi masing-masing dah siap sedia di luar homestay. Bab ni memang aku respek semua sebab ikut plan yang dirancang. Ikut plan nak sampai 7.30 pagi di Gunung Jerai, jarak dari D'Guar Homestay ni pun tak lah jauh pun lebih kurang 15-20 minit je.

0700hrs @ D'Guar Homestay, Guar Chempedak, Kedah

Warmup enjin dulu

Bacaan doa oleh Ust.Lutfi sebelum bergerak
Dari homestay, kami bergerak menuju ke stesen minyak Caltex Guar Chempedak memandangkan kali terakhir kami isi minyak di Bkt.Kayu Hitam petang semalam. Hmm sistem down la pulak, lalu masing-masing beralih ke Shell pula. Aku & beberapa orang rakan hanya menggunakan minyak 'spare' yang kami bawa dari semalam.

0715hrs @ Caltex Guar Chempedak


Oleh kerana dah berpecah untuk mengisi minyak, masa dah delay sedikit. Target nak sampai atas seawal yang boleh. Hehe takpelah yang penting kita selamat sampai. Dah selesai mengisi minyak, kami pun memulakan perjalanan menuju ke Gunung Jerai..

0730hrs mula mendaki ke puncak Gunung Jerai



Keadaan jalanraya kecil yang berliku menuju ke atas membuatkan kami berhati-hati. Tiada gesekan 'paddle' kaki di sini hahaha.. Sesekali kami memintas kumpulan pejalan kaki & penunggang basikal. Perghh memang hebat la diorang ni boleh mendaki dengan jarak sejauh 10 kilometer untuk sampai ke atas.

Muzium Perhutanan Negeri Kedah
Kami berhenti seketika di hadapan Muzium Perhutanan Negeri Kedah, yang mana terletak setentang dengan pintu masuk ke Hutan Lipur Sungai Teroi, yang tak asing bagi kaki hiking & camping. Kemudian perjalanan kami terhenti di hadapan pintu masuk The Regency Jerai Hill Resort. Tengok kanan tengok kiri takde port menarik la pulak. Ishh mana mungkin..

Sementara yang lain meninjau kawasan sekitar, aku & Ust.Lutfi berjalan kaki ke dalam kawasan resort. Kenderaan memang tak dibenarkan masuk, jadi kami paking motor di luar & memulakan senaman berjalan kaki hehe..

The Regency Jerai Hill Resort - resort di atas Gunung Jerai, pastinya menghidangkan panorama yang mengasyikkan

Tu dia..


Lebih kurang 500 meter berjalan kaki, akhirnya kami sampai di batu aras Gunung Jerai. Subhanallah memang mengasyikkan pemandangan dari atas ni. Apa lagi kita panggil la kawan-kawan lain datang hehe..

"Fuhh macam dalam Google Maps!" kata Zul

Hahaha.. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang dah sampai ke sini sahaja yang tahu bagaimana. Dari sini boleh nampak Selat Melaka, Pulau Bunting, pemandangan petak-petak sawah padi yang tersusun rapi, malah Bandar Alor Setar pun boleh nampak. Sambil kami menikmati pemandangan & udara segar di sini, kelihatan sekumpulan lelaki & perempuan sedang beriadah & bersenam di sini, program kompeni barangkali Aku pun tak lepaskan peluang untuk bertegur sapa dengan salah sorang dari mereka. Menurutnya, ada satu simpang menuju ke Telaga Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh & Batu Shaff, juga puncak tertinggi Gunung Jerai. Ok lepas ni kita explore..

986 meter dari aras laut


11 orang jejaka Selangor berkapcai & berskuter ke Gunung Jerai hihi..


Resort bertaraf 4 bintang ni antara yang pernah aku call sewaktu mencari tempat penginapan untuk kami semua. Dah nama pun 4 bintang kan, faham-faham je la hehe.. Jika berminat untuk menginap di sini, boleh dapatkan maklumat di The Regency Jerai Hill Resort





Dah puas berehat & berposing, kami bergerak pula ke destinasi yang tak pasti. Jom kita explore Gunung Jerai..

Pantang on camera ada saja yang beraksi
Dari resort, kami menuruni jalan kecil melepasi, Telaga Tok Sheikh. Kelihatan ramai pengunjung di sini. Kemudian, kami mula mendaki semula. Dengan keadaan jalan yang sangat kecil, sunyi & penuh selekoh, sesekali terpaksa drop ke gear 2 ketika mengambil selekoh tajam. Kalau guna kereta memang tak boleh berselisih. Dengan suasana yang sangat sunyi, kalau ride solo atau berdua sahaja ni memang 'suspen' juga. Lebih kurang 2 kilometer mendaki, akhirnya kami tiba di satu kawasan dengan papan tanda 'Kawasan Tentera - Dilarang Masuk'. Akur dengan papan tanda sebagaimana pesanan brader yang aku interview kat resort tadi, kami pun meletakkan motor di pintu masuk ke Padang Tok Sheikh.

Jalan menghala ke puncak terakhir & tertinggi Gunung Jerai, di mana terletaknya menara telekomunikasi & tentera berkawal, kawasan larangan katanya, so cukup sampai sini sahaja

Pintu masuk ke Padang Tok Sheikh & Batu Shaff, Gunung Jerai

Untuk ke Padang Tok Sheikh & Batu Shaff, kami perlu berjalan lebih kurang 500 meter dari jalan utama, bukan setakat berjalan, siap kena mendaki lagi. Hehe motor dah trekking, giliran rider pula la kan. Fuhh mengah juga kalau dah lama tak bersenam!!



Tak sampai 10 minit berjalan, alhamdulillah kami tiba di Padang Tok Sheikh & Batu Shaff. Agak terkilan kerana tiada sebarang papan tanda maklumat atau pun sejarah berkenaan tempat ini, hanya nasihat & amaran sahaja diberikan oleh pihak berkuasa tempatan. Kelihatan beberapa khemah di sini dengan beberapa orang sedang mengaji Al-Quran & solat. Sayang 1000 kali sayang, kami kurang buat research sebelum ride. 

Menurut sumber yang dipercayai, ini adalah tapak masjid pertama di Malaysia. Terdapat sebuah menara di sini yang digunakan untuk melaungkan azan, dipercayai dibina atas arahan Sultan Muzaffar Shah sebagai tanda hormat kepada Tok Sheikh yang telah mengislamkannya. Ada juga cerita yang mengatakan Tok Sheikh telah dimakamkan di kawasan ini setelah meninggal dunia. Tok Sheikh atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah adalah pendeta Arab yang berdakwah ke Kedah untuk mengajak orang ramai memeluk agama Islam. Manakala Gunung Jerai pada ketika itu menjadi panduan kepada pelayar laut. Kelihatan beberapa garisan di atas batu, dipercayai garisan Saff/Shaff untuk bersolat.




Pastinya sebagai sebuah tempat mempunyai sejarah & misterinya tersendiri akan menjadi pilihan para alim & ilmuan untuk bersendiri, bagi mengabdikan diri kepadaNya. Ada juga cerita ramai bomoh yang bertapa untuk menuntut ilmu di kawasan ini. Sejauh mana kebenarannya Wallahu'alam, yang pasti terdapat beberapa orang berkhemah di sini, jadi lebih elok jika tak menimbulkan kekecohan di sini. Sebagai menghormati mereka di sini, kami sekadar bersalam bertanya khabar. Kemudian kami dicadangkan untuk ke tebing gunung yang mempunyai pemandangan yang lebih indah.


Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahuakbar..

Memang inilah yang kami cari. Alhamdulillah walaupun matahari dah tinggi, dapat juga menikmati pemandangan yang indah di sini. Terletak tak jauh dari menara tadi, memang mengasyikkan berada di sini. Inilah puncak tertinggi Gunung Jerai yang kita boleh sampai..






Agis, aku, bang Deris, Aris & Nain, memang berbaloi ride kapcai ke sini


Hehehe gelap gelita gambar masing-masing sebab menghadap pancaran matahari yang terik. Dah selesai sesi berposing & menikmati keindahan alam ciptaanNya di sini, kami pun bergerak meninggalkan Padang Tok Sheikh & Batu Shaff, untuk menuruni Gunung Jerai. Perjalanan terhenti di Telaga Tok Sheikh, di mana kami dapat berbual dengan seorang 'orang lama' di sini.

"Saya memang selalu mai sini, saja rehat-rehat ambil angin" katanya

Menurutnya, air telaga ini tak pernah kering walaupun ketika musim kemarau. Ianya juga menjadi kegunaan untuk berubat secara tradisional, samada untuk diminum atau mandi. Telaga ini dipercayai digunakan oleh Tok Sheikh untuk berwudhu & bersuci satu ketika dahulu. Kami tak melepaskan peluang untuk minum & berwudhu di sini.







Lebih kurang 15 minit berada di Telaga Tok Sheikh, kami pun bergerak menuruni Gunung Jerai. Walaupun belum menjamah apa-apa makanan sebagai sarapan, tapi oleh kerana seronok & teruja berada di sini, tak terasa lapar pun. Jam dah menunjukkan pukul 9.40 pagi. Ok jom gerak, masih jauh perjalanan hari ni.


Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, kami berposing sebentar di pintu masuk Gunung Jerai. Hehe bukan senang nak kumpul golongan bujang & bapak orang ride kapcai ke sini sama-sama ni.




Di sini juga merupakan penghujung Terusan Wan Mat Saman, yang bermula dari Sungai Kedah di Alor Setar. Terusan sepanjang 36 kilometer ini merupakan terusan terpanjang di Malaysia yang digunakan untuk mengairi kawasan sawah padi.

Gunung Jerai..
Rasa tak puas berada di sini.. 
Walau penuh misteri.. 
InshaAllah ada rezeki aku akan kembali..

Batu kenangan Terusan Wan Mat Saman
Jam 10.00 pagi kami bergerak untuk mencari sarapan. Hehehe ok baru rasa lapaq dah wehh.. Kedai pertama kami singgah agak mengecewakan kerana makanan tak cukup untuk kami 11 orang. Hmm takpe mesti ada kedai lain. Tak sampai 5 minit ride, ternampak sebuah restoran yang kelihatan macam menarik untuk kami singgah..

1015hrs @ Restoran Top D'Gurun
Fuhh memang kami tak silap tempat. Walau tiada lagi sarapan, tapi menu makanan tengahari sudah mula disediakan. Ust.Lutfi dengan pantas mencapai pinggan & mencedok nasi putih. Hmm brunch la nampaknya ni, apalagi mari kita makann...

Di sini terdapat ikan & ayam bakar, kari ikan, ulaman & pelbagai menu lagi. Paling menarik adalah sambal belacannya yang dihidang dalam lesung batu. Woww memang terangkat pun sambal belacannya. Aku memilih kari bawal beserta ulam-ulaman. Nampaknya selera ikan bawal kat Kedah ni hehe..

Jangan dihirup macam bubur kacang pulak

Nak makan ke, nak meniaga ke, nak tido nih??

Pening mana satu ulam nak makan

Tak rugi makan di sini memang mantop!!

TQ bang Deris tolong snap gambar jejaka ini hihihi..



Secara keseluruhan aku bagi 5 bintang untuk kedai ni. Dari menu makanan, kesedapan makanan, servis, keadaan kedai hinggalah ke tandas, memang teratur & dikendalikan dengan baik sekali. Memang rezeki kami dapat singgah di sini.

"Len kali mai lagi naa, nak pi Loqstaq jangan lalu highway, turun exit Gurun & singgah makan sini naa" kata akak cashier.

Hehe baiklah kak. InshaAllah akan menjadi tempat persinggahan makan jika ke utara lagi lepas ni. Perut dah kenyang, hati pun senang. Misi Gunung Jerai dah selesai, kita ke Kota Kuala Muda pula.

Menuju ke Kota Kuala Muda, kami melintasi kilang Modenas di Gurun & menyusuri jalan kampung yang pastinya mempunyai pemandangan yang indah. Respek kepada semua kawan-kawan kerana maintain speed 70-80 kmh & boleh ride dalam satu barisan, tiada adegan potong memotong mahupun yang ketinggalan di belakang.

Jam 12.00 tengahari, kami tiba di Tugu Peringatan Tsunami Kota Kuala Muda, atau dikenali sebagai 'Sampan Tsunami Kota Kuala Muda 2004' di dalam GMaps. Selama ni hanya baca berita di media sahaja mengenai kawasan yang pernah dilanda tsunami satu ketika dulu. Hari ni nak lihat & rasai sendiri sejarah di tempat ini.

1200hrs @ Tugu Peringatan Tsunami Kota Kuala Muda, Kedah



Tugu ini dibina menggunakan 26 buah bot yang musnah sebagai simbolik kepada tarikh berlakunya tsunami, 26 Disember 2004. Di seberang jalan, kelihatan beberapa orang warga tempatan berehat di gerai goreng pisang sambil memerhatikan gelagat kami. Aku pun pergi bersalam & menyapa mereka. Mungkin sudah biasa dengan kehadiran orang ramai ke kawasan ini sebelum ini, pakcik-pakcik ini agak seronok melayan kami berbual. 

"Kalau hangpa tak dan nak pi Pantai Merdeka & Pulau Sayak, hangpa pi la Pasar Bisik, tak jumpa tempat len tuu" kata pakcik berkopiah putih


Pasar Bisik?? Macam pernah dengar ceritanya. Menurut pakcik, ini masa terbaik untuk pergi ke sana. Jomm kita lihat apa yang menarik di sana..

Salah simpang daa, posing dulu la

Menyusuri kawasan pantai yang pernah dilanda tsunami suatu ketika dahulu


1215hrs @ Pasar Nelayan Kg.Tepi Sungai, Kuala Muda, Kedah

Kehadiran kami disambut mesra oleh orang tempatan yang berada di pintu pagar pasar ini. Walau kami tak berhenti, masing-masing tersenyum sambil mengangkat tangan kepada kami. Memang mesra & peramah warga Kota Kuala Muda ni. Ketika ini para nelayan mula pulang dari laut membawa hasil tangkapan mereka.

Seberang sana adalah Kuala Muda, Pulau Pinang


Fresh belaka!!
Lama juga kami memerhati gelagat orang ramai berurusniaga di sini. Tiada orang terpekik menjual ikan, keadaan tenang sahaja. Tapi hasil laut yang ada, naik dari bot, masuk pasar sebentar, kemudian terus masuk plastik. Hmm..


Akhirnya kami dapat memahami cara urusniaga di sini. Penjual datang & meletakkan ikan, sotong, udang atau apa sahaja hasil laut yang hendak dijual di atas lantai. Pembeli akan menawarkan harga dengan cara berbisik kepada penjual. Kemudian datang pula pembeli lain menawarkan harga dengan berbisik juga, hinggalah dapat satu harga. Harga yang dipersetujui oleh penjual akan menang, terus dibawa ke atas timbang & bayar. Situasi menang-menang. Sama-sama setuju dengan harga yang ditawarkan. Hahaha sangat unik!! Yang pastinya, jauh lebih murah dari membeli di pasar awam. Ini salah satu adegan urusniaga yang sempat aku rakam..

Baju kuning adalah penjual, manakala baju kelabu & biru adalah pembeli, sedang menawarkan harga terbaik dengan cara berbisik

Akhirnya baju kelabu berjaya, terus dibawa ke timbang untuk mengetahui berat sebenar ikan

Selesai timbang, penjual membantu pembeli membawa ikan ke keretanya. Sebakul ikan termenung!!
Memang unik!! Tenang je rasanya, tiada orang terjerit-jerit memanggil pelanggan. Nasib baik masing-masing naik motor, kalau tak dah tentu kami pun berbisik sama haha..

Dah selesai misi di Pasar Bisik, kami berpatah balik semula, menuju ke Galeri Tsunami, yang terletak bersebelahan dengan Tugu Peringatan Tsunami tadi.

1245hrs @ Galeri Tsunami, Kota Kuala Muda, Kedah
Di sini terdapat pelbagai info & gambar-gambar berkaitan tragedi tsunami 2004 yang lalu. Menurut penjaga Galeri Tsunami ini, bangunan galeri ini adalah bekas salah satu rumah yang terselamat ketika dilanda tsunami. Rumah ini terletak di barisan ketiga dari pinggir pantai & pada ketika itu tuan rumah sedang mengadakan kenduri. Sekelip mata kejadian tsunami berlaku, ombak besar datang membanjiri kawasan tepi pantai tiba-tiba surut ke tengah lautan dengan banyak ikan-ikan terdampar di pantai, kemudian datang ombak besar, gelombang kedua tsunami dengan anggaran kelajuan 80 kmh melanda daratan. MashaAllah begitu besar kuasa Allah..


Antara kitab suci Al-Quran yang ditemui selepas kejadian tsunami

Gambar asal bangunan galeri selepas dilanda tsunami




Bersebelahan dengan galeri terdapat beberapa bekas buah rumah yang turut sama ranap dilanda tragedi itu. Rata-rata ekonomi penduduk di sini lumpuh untuk jangka masa yang panjang selepas tsunami kerana majoriti mereka bekerja sebagai nelayan. Banyak harta benda & bot yang musnah memaksa mereka membuat apa saja jenis pekerjaan walau hanya dengan pendapatan RM10 sehari bagi menampung kehidupan. Tragedi tsunami yang meranapkan 10 buah kampung di sini telah meninggalkan sejarah hitam. Semoga Allah melindungi mereka semua. 

Al-fatihah buat mangsa yang telah terkorban..



Antara sisa binaan rumah yang tinggal selepas dilanda tsunami


Selesai sesi 'lawatan sambil belajar', kami bergerak menuju ke Pulau Pinang. Melalui kawasan kampung di Kuala Muda, dengan pemandangan bendang yang luas berlatar belakang Gunung Jerai memang rugi rasanya kalau tak berhenti berposing ye tak. Panas pun panas la, saat ini harus diabadikan hehe..


1315hrs @ Route K14
Dari Kota Kuala Muda, kami melalui kawasan Penaga sebelum tiba di kawasan Butterworth. Nain terpaksa bergerak pulang ke rumah terlebih dahulu kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Lu memang kental bro, semalam datang solo, hari ni balik pun solo.

Cuaca ketika ini MashaAllah memang panas yang amat!! Kami singgah sebentar untuk mengisi minyak & membasahkan tekak di Petronas Bagan Ajam sebelum menuju ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim untuk ke Pulau Pinang. Yeayy kita naik feri, dapatlah berehat seketika nanti kan.

1415hrs @ Terminal Feri Sultan Abd.Halim - hantar laporan terkini sementara tunggu feri tiba hihi..


Ramai juga yang menggunakan khidmat feri ni. Dengan bayaran RM2 untuk satu motorsikal, dapatlah kami meregang-regangkan urat seketika sementara sampai ke Pulau Pinang. Jam 3.00 petang, kami tiba di Pulau Pinang. Rancangan asal nak ronda pulau, tapi oleh kerana cuaca yang panas terik, kita cari menyejuk tekak dulu la. Lalu terus kami menghala ke Medan Selera Padang Kota Lama.

1500hrs @ Medan Selera Padang Kota Lama, Pulau Pinang
Suasana ketika ini agak tenang, tak ramai pengunjung di sini. Terus kami duduk & order apa yang patut. Makan ringan-ringan je katanya sebab selepas ni nak singgah di Kuala Sepetang, Taiping pula pekena mi udang hehe.. Air kelapa, cendol, ABC, pasemboq, laksa penang & char kueteow menjadi pilihan kami.

Tenang-tenang aja


Pasemboq!! Pasemboq!!

Ishh banyak sangat menu pun susah juga tak mana satu nak order kann

Amboi kak sudu lagi kecik tadak ka hahaha..

Mirul nak join geng otai memancing katanya


Sejam juga kami berada di sini, makan-makan, solat & berehat. Medan selera yang tadinya lengang sudah mula dikunjungi ramai pelanggan. Perjalanan pun masih jauh ni, jom kawan-kawan golek tayar masing-masing.

Nak posing kat Padang Kota tapi ada kerja-kerja construction pulak, sini pun bole la haha..
Dari Padang Kota, kami menuju ke Persiaran Karpal Singh untuk berjumpa dengan Bangman atau nama sebenarnya Azman Ali, salah sorang orang kuat Adventure Touring Malaysia (ATM) yang juga memang aktif ber'touring' ke sana sini. Plan asal nak ronda pulau terpaksa dilupakan memandangkan cuaca panas terik.

Aku memang dah contact Bangman sebelum ride lagi, dah masuk kawasan kena lah jumpa dengan abang besaq hahaha.. Sama macam abang Aziz PG tempoh hari, ini adalah kali ke-2 kami berjumpa. Walaupun begitu, memang sempoi melayan kami macam dah kenal lama. Bersantai-santai berbual, sambil berkongsi ilmu touring.

Pemandangan Jambatan Pulau Pinang lama memang menarik dari sini

TQ Bangman layan kami, len kali kita lepak kat Pai Penang hihi..

Udah-udah tu Bangderis moh le kita balik
Lebih kurang jam 5.00 petang, kami minta diri untuk pulang. Kalau ikut hati seronok berborak dengan Bangman ni mau tido lagi 1 malam di sini pulak hahaha.. Sebelum menuju ke jambatan, singgah sebentar di Shell, membasahkan tekak sambil memeriksa keadaan motorsikal masing-masing sebelum memasuki highway.

1715hrs @ Shell Jelutong, Pulau Pinang - ada saja yang nak beraksi hihi..
Dah selesai segala keperluan, kami bergerak pulang menggunakan jambatan baru - Jambatan Sultan Abd.Halim Muadzam Shah. Mie yang pernah menggunakan jambatan ini mengepalai kami semua. Memang sesuai digunakan jika keluar dari Pulau Pinang kerana dapat menjimatkan masa sebanyak 30 minit. Apa taknya, tak perlu nak bersesak-sesak di kawasan Juru. Di sini juga agak lapang & tenang, boleh la berhenti seketika berposing hehe..



Babai Penang, next time pasti kami datang lagi

Cameraman beraksi di atas divider - aku lah tu hihi..
Memasuki PLUS Highway, kelihatan langit dah mula gelap. Bukan sebab nak malam tapi nak hujan!! Hehehe boleh mandi hujan nih. Lebih kurang jam 6.30 petang, kami berhenti di R&R Gunung Semanggol untuk mengisi minyak & bertemu dengan 2 orang rakan Mie yang akan turut serta ke Kuala Sepetang & ride pulang ke KL. Siap je isi minyak, hujan pun turun dengan lebatnya haha.. Adehh terkandas la nampaknya ni.

1830hrs @ R&R Gunung Semanggol
Kebetulan rakan ATM kami, Abi Khalid berada di kampung isterinya, Taiping. Aku pun memang dah plan untuk pekena mi udang bersama-sama dia nanti. Tapi memandangkan hujan terlalu lebat, terpaksa lah membatalkan hasrat kami. Yelah dah la hujan lebat, dah tentu tak boleh laju. Jika singgah di Kuala Sepetang pula lagi, pukul berapa nak sampai rumah. Abi pula memang dah nak pulang ke Kuala Selangor ketika itu, so takpelah kita teruskan je perjalanan.


Hampir jam 7.30 malam, kami pun kembali menggolekkan tayar. Kami berhenti seketika di R&R Sg.Perak untuk bersolat, kemudian berhenti pula di R&R Tapah untuk makan malam & berehat. Menghampiri R&R Tapah, mata dah agak letih dek cahaya lampu dari kenderaan lain, tambahan pula ride sekitar 100-110kmh sahaja. Aku yang berada di belakang sekali hanya membontoti kawan-kawan lain di hadapan. Terdengar bunyi hon tapi tengok kawan-kawan semua ok, hmm lantak la.

Berhenti di R&R Tapah, datang sebiji kereta di menghampiri kami..

"Aduhh penat aku hon, anak aku siap jerit lagi, ko buat dekk je ye.."

Hahaha rupa-rupanya Abi dengan familinya. Aku kalau dah terkebil-kebil memang fokus abis tak fikir apa dah. Apapun rezeki dapat minum bersama sorang lagi otai touring nih nampaknya. Plan petang tadi tak jadi, rupanya diganti di sini.

2130hrs @ R&R Tapah - makan malam sat

TQ Abi sudi singgah minum bersama walaupun aku tak perasan tadi kikiki..
Jam 10.30 malam, masing-masing minta diri. Abi pulang ke Kuala Selangor, manakala kami meneruskan perjalanan di highway & singgah di R&R Ulu Bernam untuk berhenti kali terakhir. Selesai mengisi minyak & berehat, kami pun menyambung perjalanan. Bang Deris rider terawal berpecah, keluar di exit Tg.Malim, diikuti Wanto di exit Highway Latar. Kemudian yang lain terus ke Highway NKVE sebelum berpecah ke Shah Alam, Puchong, Ser Kembangan & Klang.

Alhamdulillah selamat tiba di rumah jam 12.50 pagi. Terima kasih & syabas kepada semua rider yang memang sporting & sempoi dalam Ride Utara kali ni. Juga terima kasih kepada para isteri yang bagi green light kepada para suami untuk ride hihihi.. Walaupun banyak tempat terpaksa skip kerana masa tak mengizinkan, namun banyak kenangan & pengalaman yang berjaya ditimba, hingga ada yang dah bertukar kunci hari ni hihihi..

Klang > Bkt.Kayu Hitam > Guar Chempedak > Gunung Jerai > 
Kota Kuala Muda > Pulau Pinang > Klang
( 1,145.8 km )


Kos lebih kurang je dengan ride-ride sebelum ni, kalau kata lingkungan 1,000 km, bawa RM250 masih cukup. Kesimpulannya, nak jimat kita ride naik kapcai hihi..

Next ride?? Tunggu kemunculannya..


-MattHafidz-

2 comments: